Tahun Baru Masihi 2008
January 1st, 2008 . by admin
Selamat datang 2008. Selamat tinggal 2007. Bermakna semakin hampir kita mengucapkan: Selamat datang alam barzakh, selamat tinggal dunia yang fana. Maaf, kerana memotong semangat baru anda di 2008.
Kadang-kala kita berseronok menyambut ketibaan setiap kali datangnya tahun baru. Banyak perkara diwar-warkan dengan keseronokan. Dengan program TVnya, dengan sambutan bunga apinya dan bermacam-macam lagi. Sungguh seronok anak muda itu dengan suasana yang dicipta oleh ayah-ayah dan datuk-datuk mereka.
Ayah! datuk! khususnya kaum lelaki, saya dan anda mempunyai tanggungjawab. Dalam keseronokan itu jangan lupa kita hendaklah berusaha meninggalkan sesuatu yang sungguh bermakna untuk bekalan di hari kemudian.
- Jangan lupa untuk meninggalkan anak yang soleh/solehah yang sentiasa mendoakan akan kedua ibubapanya.
- Jangan lupa untuk ikhlaskan dan perbanyakan sedekah dan amal jariah anda.
- Jangan lupa untuk meninggalkan ilmu yang bermanafaat bagi yang hidup mengamalkannya.
Marilah kita sama-sama berazam untuk perkara yang diatas.
1. Mulakan dengan diri anda dengan memperbanyakkan membacakan Al-Quran. Ajarkan kepada anak-anak anda. Galakkan mereka untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran. InsyaAllah, anda dan mereka akan terdorong untuk melakukan perkara yang baik-baik dan terpelihara daripada melakukan perkara yang tidak baik. Belajar Al-Quran jika masih ragu tentang tajwid. Keterbukaan belajar tafsir dan sebagainya yang lebih mendalam tentang Al-Quran akan datang sendiri kemudian hari. InsyaAllah.
2. Didik diri anda dengan perasaan ikhlas akan apa sahaja yang anda lakukan. Buangkan perasaan riak, ego, sombong dan perkara lain yang sewaktu dengannya. Jariah anda tidak semestinya dengan wang ringgit. Membantu untuk memakmurkan surau dan ahli kariah dengan majlis tahlil, bacaan Yassin, marhaban, cukur kepala, aqiqah, korban dan bermacam-macam lagi juga dikira amal jariah.
3. Disini saya berbesar hati menerima coretan ilmu yang bermanafaat untuk dimuatkan di dalam blog ini khususnya tentang Tajwid dan Al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya. E-mailkan coretan anda kepada ustahmads[@]wajibtajwid.com (buangkan tanda kurungan untuk e-mail kepada saya) atau melalui Page Hubungi Kami di blog ini. InsyaAllah, ilmu yang sedikit dikongsikan untuk manfaat bersama akan mendapa balasan daripada Allah s.w.t.
Semoga, 2008 akan memberi banyak makna kepada anda dan saya. Wallahualam.
-ustahmads-




Posted in