Tajwid & Al-Quran
Informasi Pembelajaran Tajwid dan Al-Quran
about this blog Artikel Blog Ini

Tajwid & Al-Quran

Anda Mampu Mengubahnya

published on April 15th, 2008 . by admin

Saya ada terbaca satu kisah yang ditulis oleh Prof. Muhd Kamil Ibrahim daripada UITM di blognya. Semoga sama-sama boleh menjadi pengajaran kepada kita semua. Coretan kisahnya adalah seperti berikut:

“Sukarnya untuk mengajak manusia melakukan kebaikan.”

Ia kenyataan yang sering diungkapkan oleh pendakwah. Saya bukan pendakwah. Bagaimanapun saya kerap mengajak mereka yang hampir dengan saya - pelajar-pelajar - untuk banyak berdoa dan mengingati Allah s.w.t.

Saya nyatakan dalam gurau-senda dan terselit-selit di antara ‘accounting theory’, penyelidikan dan kisah-kisah kehidupan.

Dua hari lepas, Ust Idris (guru Quran saya) bertanya: Haji, ada tak kawan-kawan haji yang tidak tahu membaca Al-Quran dan mahu belajar? Spontan saya menjawab: Ada, nanti saya akan usahakan. Saya tahu ramai yang hendak belajar tetapi tersangat malu walaupun buta huruf.

Semalam saya bertanya seorang teman sama ada dia berminat untuk belajar Quran. Dia mengubah topik perbincangan. Hati saya berkata: Dia bukan orang yang dipilih!

Petang, saya bertanya dan berkata kepada seorang teman yang lain: Allah s.w.t minta aku sampaikan, mu ni bila nak belajar Quran? Tuhan dah bagi nikmat yang berlebihan untuk kita bersyukur! Berapa lama lagi kita mahu berpura-pura dalam kehidupan kita? (Dia adalah sahabat saya).

Lalu saya ceritakan tentang pertanyaan Ustaz Idris. Saya psiko dia dengan beberapa kenyataan. Aku dulu langsung tak pandai baca Quran. Sekarang ni seronok …masuk pejabat baca Quran, masuk kereta baca Quran dan setiap hari kita belajar perkara yang berbeza. Dia berkata: Aku dah lama hendak belajar. MALU!

Lalu saya nyatakn: Aku dulu juga malu. Hari mula-mula belajar - YA - memang terasa muka tebal seinci. Eh…sekejap sahaja aku dah pandai. Malu bertukar menjadi bangga. Aku mahu ceritakan kepada semua orang yang aku belajar Quran ketika berusia lebih 40 tahun. Mahu ceritakan yang kita sepatutnya lebih malu kerana menyamar pandai dan tahu membaca Quran.

Pagi ini, dia muncul berjumpa dengan Ustaz Idris, Alhamdulillah.

Begitulah kisahnya untuk diambil pengajaran oleh kita semua. Yang sedang belajar, ajak kawan-kawan sama belajar, yang mengajar, tawarkanlah diri untuk mengajar sesiapa sahajar dan yang hendak belajar, haruslah membuang segala sifat malu yang sementara itu kerana ia adalah mainan syaitan yang tidak meinginkan anda mempelajari ayat-ayat Allah s.w.t.

Untuk mengurangkan rasa malu dan berhajat menjadikan masa pembelajaran secara mushafahah (berdepan dengan guru) pendek, anda boleh pelajarinya dahulu dikeselesaan anda dangan memiliki CD ‘Cara Mudah Belajar Membaca Al-Quran Secara Bertajwid’. Apabila telah selesa, bergurulah untuk meyakinkan bahawa bacaan anda adalah baik mengikut apa yang sepatutnya.

ustahmads

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • co.mments
  • YahooMyWeb

Mengapa Perlu Membaca Al-Quran

published on January 31st, 2008 . by admin

Ini adalah satu kisah yang sangat menarik. Semoga dengan cerita ini hati anda akan terbuka tentang membaca Al-Quran. Kisah ini dipetik daripada kisah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Mengapa Kita Membaca Al-Quran, sedangkan kita tidak memahami sepenuhnya apa yang dibaca?

Ada seorang Atuk tua tinggal bersama cucu lelakinya di sebuah bukit di pendalaman. Setiap pagi Atuk bangun awal pagi duduk di meja makan dan membaca Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti Atuk dan meniru seberapa boleh akan bacaan yang dibaca oleh Atuknya.

Pada suatu hari cucunya bertanya, ‘Atuk! saya cuba membaca Al-Quran macam Atuk baca tapi saya tak faham pun, dan jika saya faham sekali pun saya akan lupa sebaik sahaja saya menutupinya.  Apa bagusnya bila kita membaca Al-Quran?’ Sedang orang tua itu meletakkan arang batu ke dalam dapur pemanas badan, dengan perlahan dia menoleh kepada cucunya sambil berkata, ‘ Bawa guni arang batu ini ke sungai dan bawakan saya seguni air.’

Budak lelaki itu buat seperti apa yang disuruh, tetapi semua air itu membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Orang tua itu ketawa dan berkata. ‘ Awak hendaklah berjalan lebih cepat untuk yang akan datang,’ dan meminta cucunya ke sungai bersama dengan guni arang batu untuk cuba sekali lagi. Kali ini budak lelaki itu berjalan lebih laju, sekali lagi guni itu kosong sebelum dia tiba ke rumah. Terlalu letih, dia memberitahu Atuknya bahawa mana mungkin untuk membawa air di dalam guni, dan dia pergi untuk mengambil baldi. Orang tua itu berkata, ‘ saya tidak mahu sebaldi air, saya mahu seguni air. Anda tidak cukup kuat mencubanya.’ dan dia menuju ke pintu melihat cucunya mencuba lagi.

Pada katika itu, budak lelaki itu sudah tahu bahawa tidak mungkin dapat membawa air di dalam guni hingga ke rumah, tetapi untuk tidak menunjukkan apa-apa reaksi kepada Atuknya dia berlari seberapa laju yang dia boleh, semua air yang di bawa masih membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Budak lelaki itu sekali lagi pergi ke sungai dan berlari secepat mungkin dengan seguni air, tetapi apabila sampai kepada Atuknya, guni tersebut sekali lagi kosong. Meletihkan, katanya,’ tengok Atuk, tak guna!’ ‘ Jadi anda fikir ianya tidak berguna?’ Orang tua itu berkata,’ tengok guni itu.’

Budak lelaki itu melihat akan guni tersebut dan buat kali pertamanya dia sedar bahawa guni tersebut sudah berubah. Ia telah bertukar daripada guni lama yang kotor bekas arang batu menjadi begitu bersih, luar dan dalam.

‘Cucuku, itulah yang akan berlaku jika anda membaca Al-Quran. Anda mungkin tidak faham ataupun ingat kesemuanya, tetapi apabila anda membacanya, anda akan berubah dengan sedirinya, dalaman dan luaran. Itulah kurniaan Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.’

Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba sedaya upaya memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Jika perlu untuk belajar, marilah kita Belajar Tajwid Al-Quran untuk menyempurnakan lagi bacaan kita.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • co.mments
  • YahooMyWeb