Alhamdulillah, syukur pada Allah yang maha Esa, akhirnya saya dapat menyiapkan modul ‘Cara Mudah Belajar Membaca Al-Quran Secara Bertajwid‘, sungguhpun saya sebenarnya adalah seorang graduan di bidang Engineering. Maaf, sekiranya bahasa saya semacam meninggi diri, itu yang termampu saya menyusun kata-kata. Semoga Allah memelihara saya daripada sifat tercela dalam penulisan saya.
Sebenarnya, sejak kecil lagi saya telah dididik untuk mengikuti kelas Al-Quran, mungkin dengan sikap semulajadi saya yang mudah menurut perintah, saya disenangi oleh guru saya. Tambahan pula saya adalah antara anak muridnya yang agak pandai sikit, jadi guru saya telah berpakat dengan ayah saya, kalau saya tak lepas sekolah, saya akan dihantar ke sekolah pondok di Kuala Terengganu ataupun di Kelantan.
Mungkin rezeki saya di bidang lain, saya lulus agak cemerlang juga masa SRP dulu, jadi teruslah dengan aliran akademik sehinggalah ke peringkat ijazah. Baca Al-Quran? Sendiri-sendirilah. Ada musibah, rajinlah baca. Tak ada musibah, jauhlah sikit. Belajar Al-Quran? Setakat ilmu yang ada tu lah agaknya, cuma adalah baca terjemahan sikit-sikit dan jika rasa perlu.
Selepas saya graduate dan mula bekerja, saya menyambung kembali hasrat ayah saya dulu. Mungkin tidak seperti yang diharapkan tetapi mungkin cukup untuk diri saya sabagai seorang anak. Alhamdulllah! saya berjaya lulus cemerlang di bidang Tajwid Asas dan mengikuti Kelas Lanjutan hingga ke Peringkat Talaqi. Tetapi masih belum mendapat sanat. InsyaAllah, dalam usaha.
Dalam masa belajar di Peringkat Lanjutan, saya juga ditugaskan mengajar untuk Peringkat Asas untuk orang dewasa. Masa tu dalam lewat 1999. Semasa di Peringkat Lanjutan, seingat saya, saya adalah pelajar yang paling muda. Saya pernah juga mengikuti Belajar Al-Quran Berlagu di Masjid Negeri Shah Alam, rasa saya, saya jugalah pelajar yang paling muda. Perasan agaknya ust. ni! Nak bagitahunya ialah, ikut pengalaman la ni, sebenarnya ramai masyarakat dewasa kita hari ni tidak dapat membaca Al-Quran apatah lagi bertajwid.
Dalam masa mengajar tu, banyak sangat perkara yang saya belajar. Contohnya, belajar mengajar, efektif ke tidak, macam mana nak bagi lebih efektif, mendidik diri, sabar, ambil berat, sedih mengenangkan pelajar yang jauh lebih berumur daripada saya. Kalau nak di senaraikan, saya pun tak tahu bila habis. Dengan pengalaman itu, ditambah dengan sedikit pengetahuan tentang komputer dan internet, saya mengurangkan sedikit ruang (gap) tentang Pembelajaran Al-Quran Secara Bertajwid dengan produk yang lebih inovatif ‘Cara Mudah Belajar Membaca Al-Quran Secara Bertajwid‘ kurang daripada 1 tahun dalam bentuk CD. Sila ke link di atas untuk keterangan yang lebih lanjut.
Pada masa sekarang, isi kandungan dan kaedah pembelajaran di dalam CD tersebut telah dipresentkan kepada 3 orang Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan seorang Lembaga Pengarah Telaga Biru Sdn. Bhd., saya sedang dalam usaha untuk mendapatkan kerjasama dalam menyebarkan ilmu Allah yang sedikit ini untuk manfaat seluruh masyarakat islam. Alhamdulillah! setakat ini komen yang diberikan adalah baik dan patut disebarkan. Pertemuan seterusnya akan diuruskan untuk ‘klik’kan kerjasama tersebut. Kerjasama apa sebenarnya ni? Anda akan dimaklumkan apabila tiba masanya nanti.
Dipertemuan pertama ini, saya dengan rendah hati memohon teguran membina daripada anda semua. Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat lari dari kesilapan. Tanpa teguran, saya tidak mengetahui dimanakan kekurangan saya. Sama-sama kita belajar dan pertingkatkan diri dalam apa jua bidang.
-Ustahmad-